Lima sekeluarga berdepan detik cemas bila dapur rumah runtuh

Keadaan tanah runtuh di bahagian dapur rumah mangsa.

MIRI, Dis 20: Lima sekeluarga di Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir di sini berdepan detik-detik mencemaskan apabila bahagian dapur rumah mereka terjejas akibat kejadian tanah runtuh dalam satu kejadian semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, tiada laporan kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.


Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung insiden itu.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat kejadian tanah runtuh dan mengarahkan keluarga terbabit memindahkan barang-barang dari dalam rumah mereka.

“Bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan, pasukan bomba telah memasang sawar di sekeliling kawasan tanah runtuh bagi mengelakkan orang ramai berada di lokasi berkenaan.

“Penghuni rumah berkenaan telah diarahkan meninggalkan kediaman mereka kerana pemeriksaan mendapati struktur tanah di situ masih tidak stabil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Buat masa ini, kata jurucakap sama, penghuni rumah tersebut tinggal sementara bersama keluarga terdekat mereka. ā€” DayakDaily