Lima projek dilaksanakan di Nanga Engkuah mulai Ogos ini — Nanta

Nanta (tiga dari kiri) menyampaikan Surat Setuju Terima projek kepada salah seorang penerima.
Advertisement

By DayakDaily Team

KUCHING, 12 Ogos: Lima projek fizikal akan dilaksanakan di Perkampungan Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song bermula Ogos ini.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bakal memberi manfaat kepada 658 penduduk di tiga buah rumah panjang.

Advertisement

Ketiga-tiga rumah panjang ialah Rh Assan, Rh Radiah dan Rh Albert Lajong.

“Projek adalah kerja penambahbaikan infrastruktur di kampung iaitu melibatkan penyediaan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan dan kemudahan masyarakat di kawasan desa terpinggir.

“Ini semua nanti akan melibatkan lima projek fizikal yang merangkumi pembinaan dua buah jambatan, pemasangan lampu solar, menaik taraf pondok menunggu di jeti dan menaik taraf laluan pejalan kaki,” katanya.

Nanta berkata demikian di Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Kampung Angkat Madani di Nanga Engkuah semalam.

Tambah beliau, projek dijangka bermula pada bulan Ogos 2024 dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan untuk disiapkan.

Katanya, kesemua kemudahan ini nanti juga dapat memberi akses yang lebih baik kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Nanga Engkuah, Klinik Kesihatan Nanga Engkuah dan sebuah sub-stesen pertanian.

“Dengan kedudukannya yang terletak kira-kira 50km dari Pekan Song dan hanya boleh diakses melalui jalan air, pemilihan Perkampungan Nanga Engkuah sebagai Kampung Angkat Madani (KAM) Kementerian Kerja Raya dilihat bertepatan dengan aspirasi program ini,” kata Nanta. — DayakDaily

Advertisement