MIRI, 30 April: Akibat berniaga melebihi waktu yang dibenarkan, lima peniaga dikenakan kompaun masing-masing berjumlah RM1,500 di sini pada Rabu lalu.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang memetik kenyataan Majlis Bandaraya Miri (MBM), kesemua peniaga tersebut dikompaun oleh pegawai penguatkuasa dan pegawai kesihatan awam MBM yang melakukan Operasi Pemeriksaan dan Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Dalam operasi yang dilaksanakan selepas jam 10.30 malam pada Rabu lalu, kesemua peniaga ini didapati melanggar SOP PKPB dengan masih melakukan aktiviti peniagaan mereka melebihi waktu yang dibenarkan.
“Operasi Pemantauan dan Pemeriksaan SOP tersebut dilakukan MBM bagi memastikan semua urusan atau aktiviti perniagaan dihentikan pada jam 10.00 malam seperti yang termaktup dalam SOP PKPB bagi kawasan Zon Merah,” katanya.
Jelas kenyataan terbabit, Operasi Pemantauan dan Pemeriksaan SOP terbabit dilaksanakan meliputi premis perniagaan di bawah bidang kuasa MBM termasuk kedai makan, bar dan bistro di kawasan kormersial di bandaraya terbabit.
Katanya, kerjasama daripada semua pihak khususnya penggusaha peniagaan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan komuniti Miri seterusnya membantu dalam melandaikan rantaian jangkitan Covid-19 di bandaraya berkenaan.
“Untuk memastikan penguatkuasaan SOP dipatuhi, MBM akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan seperti mana diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” katanya. — DayakDaily