Oleh Dean Adam
MIRI, Julai 16: Lima individu nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di jalan berhampiran Krokop, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, tiga orang mengalami kecederaan, manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 11.30 malam.
Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kemalangan untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Kancil dan Proton Wira yang bertembung dari arah bertentangan.
“Perodua Kancil tersebut dinaiki dua pasangan warga emas, manakala Proton Wira dinaiki tiga orang lelaki,” katanya, di sini, hari ini.
Law menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan seorang mangsa di bahagian tempat duduk pemandu dikatakan mengalami kecederaan namun tidak tersepit.
Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada petugas perubatan di lokasi, manakala mangsa yang lain telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Seterusnya pasukan bomba menjalankan kerja-kerja ‘flushing’ di tempat kejadian bagi menghilang kesan-kesan minyak di atas jalan raya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah malam,” katanya lagi. — DayakDaily