Lima masjid dan surau di Kuching raih pendapatan lumayan melalui pertanian pintar

Al-Khalid Othman (dua dari kiri) menyampaikan replika projek pertanian pintar bandar kepada salah seorang penerima yang mewakili masjid dan surau di Kuching.

KUCHING, 14 Feb: Anggaran pendapatan yang diperoleh sebuah masjid melalui pertanian pintar ialah RM5,625 sebulan, kata Timbalan Penasihat Ekonomi Digital Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Al-Khalid Othman.

Menurutnya, angka itu dapat dibuktikan selepas pelaksanaan projek Pertanian Bandar Pintar fasa pertama yang melibatkan lima buah masjid dan surau.

“Projek ini kita laksanakan di Masjid Darul Khatimah, Semerah Padi yang berjaya menjana hasil jualan tertinggi iaitu RM3,039 bagi tiga kali tuaian.


“Ini diikuti Surau Al Ansar, Taman Yen Yen dengan nilai RM1,946 bagi dua kali tuaian, Surau Darul Qarar Patingan mencatat RM1,900 dengan sekali tuaian, Surau Nurul Salihin Bako Hijrah sebanyak RM370 bagi sekali tuaian dan Surau Darul Rahman, Taman Won Baru, Jalan Bunga Kemuning.

“Sehingga kini, jumlah pendapatan yang dihasilkan oleh lima buah masjid dan surau itu ialah RM7,255,” katanya menurut satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Pertanian Bandar Pintar Fasa Kedua di Pejabat SMA di sini semalam.

Tambah Al-Khalid, bagi fasa kedua, terdapat 20 buah masjid dan surau dipilih untuk melaksanakan program terbabit dengan penanaman 900 ‘pot’ sayuran bagi sebuah masjid dan surau.

Maka katanya, ia akan mempunyai 18,000 ‘pot’ sayuran apabila dijayakan kelak.

Objektif utama Projek Pertanian Bandar Pintar ialah memfokuskan kepada peningkatan sosio-ekonomi masyarakat dan kemampanan kewangan, untuk mewujudkan kesedaran dan kesediaan mengenai pertanian pintar.

“Kita juga ingin melihat masyarakat di bandar membangunkan rantaian bekalan secara holistik dengan dasar keterangkuman ekonomi digital sekali gus membasmi kemiskinan bandar.

“Setakat ini, sebanyak 45 buah masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) telah memenuhi kriteria bagi pelaksanaan projek ini,” ujarnya. — DayakDaily