Lima individu nyaris maut, kenderaan jatuh dalam gaung

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 21: Lima individu nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terhumban masuk di dalam gaung di KM14, Jalan Persisir Bintulu-Miri di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 petang itu, semua mangsa termasuk pemandu kenderaan tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.


Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.10 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kesemua mangsa bekerja keluar menyelamatkan diri.

“Anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari.

Jurucakap sama memberitahu, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 2.38 petang. — DayakDaily