Lima cedera parah temasuk bayi dalam kemalangan di Selangau

Keadaan kereta Proton Iriz yang terlibat kemalangan tersebut.
Advertisement

SELANGAU, 28 Sept: Seramai lima orang mangsa termasuk seorang bayi dilaporkan cedera parah selepas kereta dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan tersebut dilaporkan berlaku di Jalan Selangau Simpang 3 berdekatan Rumah Panjang Dali Merawing sekitar jam 10.20 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Komander operasi maklum kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Iriz dengan Toyota Hilux.

“Setelah membuat ‘size-up’, terdapat lima mangsa dari Proton Iriz mengalami cedera parah, manakala empat lagi mangsa dari Toyota Hilux mengalami cedera ringan.

“Kesemua mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, penumpang Proton Iriz yang mengalami cedera parah adalah terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita serta seorang bayi.

Hadir sama di lokasi kejadian adalah Polis, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pekerja Pan Borneo. — DayakDaily

Advertisement