Penunggang motosikal maut, terbabas di Batu 12 Jalan Kuching-Serian

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan.

KUCHING, 28 Sept: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terbabas di Batu 12 Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Alvin Kajitan berusia 31 tahun dan berasal dari Kampung Bunan Gega, Tebakang Serian.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 1.50 pagi.


Menurutnya, kejadian disyaki berlaku semasa mangsa sedang bergerak lurus dari arah Serian menghala ke Kuching.

“Dipercayai motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar penghadang simen pembahagi laluan.

“Mangsa dikatakan tercampak ke sebelah jalan di laluan yang bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily