Lima beranak cemas, rumah terjejas akibat kebakaran

Kesan kebakaran di bawah rumah mangsa.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Mei 1: Lima beranak berdepan detik mencemaskan apabila kediaman mereka di Sungai Park terjejas akibat terbakar, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kebakaran itu telah menjejaskan kediaman tersebut kira-kira 10 peratus.

Pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.09 petang.

“Sepasukan anggota bomba dari BBP Kanowit kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam. Sampai di lokasi kejadian didapati benar berlaku kebakaran di bawah rumah persendirian jenis tidak kekal di situ,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Jurucakap sama menambah, siasatan awal mendapati kejadian itu dikatakan bermula dari unggun api yang dibuat bagi menghalau nyamuk sebelum ia merebak ke tikar mengkuang dan sebahagian kecil struktur rumah bahagian dapur.

“Kebakaran itu telah berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah tersebut bersama jiran-jiran berhampiran menggunakan air,” katanya. — DayakDaily