Peniaga lesap RM192,000 ditipu bomoh palsu

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Mei 1: Seorang peniaga rugi RM192,000 selepas terperdaya dengan bomoh palsu dalam satu kejadian di MJC Batu Kawa di sini pada 11 April lepas.

Bagaimanapun, wanita itu membuat laporan polis berhubung kes berkenaan semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa berusia 55 tahun telah terserempak dengan tiga wanita yang dikenali.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudian mengatakan mahu mencari daun untuk mengubati penyakit kulit anak salah seorang daripada mereka.

“Kemudian suspek mengatakan rumah yang didiami mangsa di Jalan Stephen Yong mempunyai hantu sejak sembilan tahun lalu.

“Suspek-suspek kemudian mengatakan akan membantu mangsa untuk melakukan upacara sembahyang di rumah mangsa dengan syarat dia perlu mengeluarkan kesemua wang simpanan dan diserahkan kepada suspek,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, pada masa sama, mangsa yang diiringi salah seorang suspek telah mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM180,000 di sebuah bank di Batu 3, di sini.

Katanya, selepas mengeluarkan wang simpanan itu, mangsa telah menyerahkan wang tunai dan pelbagai barangan kemas miliknya kepada suspek.

“Selepas itu, ketiga-tiga suspek telah menyerahkan satu bungkusan dikatakan berisi wang dan barangan kemas milik mangsa.

“Mangsa dilarang membuka bungkusan tersebut dan hanya boleh dibuka selepas seminggu,” katanya.

Beliau menambah, mangsa menyedari dirinya telah ditipu selepas membuka bungkusan itu dan mendapati hanya terdapat dua botol air mineral dan empat kotak air soya di dalam bungkusan tersebut.

“Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM192,000,” ujarnya. — DayakDaily