Liga Kapit tawar hadiah berjumlah RM13,600


KUCHING- RM13,600 menjadi rebutan lapan pasukan bertanding didalam Liga Kapit pada 21 dan 22 Julai ini.

Timbalan Presiden Kapit FA merangkap Pengerusi Pertandingan Tempatan, Nuwin Lium berkata hanya lapan pasukan yang akan diterima untuk menyertai kejohanan ini dan mereka mestilah dari empat daerah yang terdapat di Bahagian Kapit iaitu Kapit, Song, Belaga dan Bukit Mabong.

“Pertandingan akan diadakan secara liga dua kumpulan yang akan menjadi medan untuk memilih pemain mewakili bahagian Kapit pada pertandingan Piala Sarawak kelak,” kata Nuwin.


Bagi mengelakkan pertindihan warna jersi, pasukan yang bertanding perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM2,000 dimana mereka akan dibekalkan dua set jersi oleh pihak penganjur untuk digunakan semasa pertandingan.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 5 petang, 14 Julai 2017 (Jumaat) dan borang boleh diperolehi daripada Omar Masam di Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kapit dan Encik Nuwin Lium di Pejabat Residen Bahagian Kapit bermula dari 4 Julai 2017.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr. James Masing, akan turut hadir untuk merasmikan Liga Kapit pada 22 Julai ini. – dayakdaily.com