Anak Dayak Cemerlang Di Korea Selatan (Video)

Jonathan (kanan) mencatat 10.28s manakala Nixson mencatat 10.34s.

KUCHING: Catatan masa 10.28 saat membolehkan Jonathan Nyepa menduduki tempat kedua dalam acara 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan di Jeongseon, Gangwon-do kelmarin.

Sumber Video : Facebook Sarawak A Place Like No Other

Tempat pertama telah diraih oleh atlet Korea Selatan, Kim Kok Young dengan catatan masa 10.07 saat sementara tempat ketiga dimenangi oleh seorang lagi pelari negara itu, Lee Jaeha (10.41s).


Kejayaan tersebut telah melonjakkan kedudukan anak kelahiran Belaga Kapit tu sebagai pelari kedua terpantas dalam sejarah olahraga kebangsaan dibelakang Khairul Hafiz Jantan yang mempunyai rekod 10.18 saat yang dicipta semasa Kejohanan SUKMA di Sarawak pada tahun lepas.

Catatan masa 10.28s oleh Jonathan juga bermaksud beliau adalah pelari terpantas di negeri ini, menewaskan masa 10.30s yang dicatatkan oleh Watson Nyambek pada tahun 1998.

Dalam pada itu, seorang lagi atlet pecut kelahiran Sarawak, Nixson Kennedy meneruskan prestasi baik beliau sejak Kejohanan Terbuka Pahang pada bulan April lepas dengan menduduki tempat ke-empat dalam acara yang sama dengan catatan masa 10.43s.

Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri Sarawak Snowdan Lawan mengucapkan syabas kepada Jonathan dan Nixson kerana cemerlang dalam kejohanan bertaraf antarabangsa tersebut.

“Kejayaan Jonathan dalam kejohanan tersebut merupakan satu kebanggaan kita rakyat Malaysia serta kepada Sarawak dan orang Belaga khususnya,” katanya ketika dihubungi oleh dayakdaily.com

“Ini juga menunjukkan bahawa Sarawak mampu meneruskan penguasaan dalam bidang olahraga di negara ini serta terus melahirkan pelapis atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.”

“Semoga pencapaian Jonathan dan Nixson dapat dijadikan teladan kepada anak – anak muda di negeri ini agar terus berusaha dengan lebih keras lagi untuk mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di persada olahraga antarabangsa,” tambah Snowdan. – dayakdaily.com