Life-Bag berfungsi sebagai beg sekolah dan jaket keselamatan penumpang bot

Mohd Isyraq (kiri) memakaikan Life-Bag kepada seorang murid Sekolah Kebangsaan Dato Traoh Kota Samarahan yang melawat Cipta 2019, sambil diperhatikan Wan Hashim (dua dari kiri) selepas perasmian CIPTA 2019 di Panggung Eksperimen Teater, Kampus Unimas,
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Mei 8: Khuatir dengan murid sekolah di luar bandar Sarawak yang ramai mengunakan bot berulang alik ke sekolah setiap hari tetapi tidak berminat mengunakan jaket keselamatan mendorong seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mencipta “Life-Bag”.

Pelajar terbabit, Mohd Isyraq Salehhin, 25, dari Fakulti Seni Gunaan Dan Kreatif (FSGK) Unimas dan berasal dari Johor berkata “Life-Bag” adalah inovasi ciptaannya yang sesuai digunakan kalangan murid itu berusia 6 hingga 12 tahun dan dengan berat 40 kilogram ke bawah.

“Life-Bag adalah beg sekolah yang boleh menjadi jaket keselamatan penumpang bot kerana ada busa polisterin dan sekiranya berlaku kecemasan, murid sekolah hanya perlu memakai beg itu di bahagian dada dan memisahkan busa polisterin pada beg dengan ruang menyimpan buku beg supaya busa itu boleh menjadi pelampung serta mengelakkan murid dari lemas,”katanya ketika mendedahkan ciptaannya itu di program Cetusan Pelajar Tahun Akhir (CIPTA) 2019 anjuran FSGK Unimas di Panggung Eksperimen Teater, Kampus Unimas, di sini, semalam.

Advertisement
Mohd Isyraq menunjukkan busa polisterin (kiri) yang ada dalam Life Bag dan boleh dipisahkan dengan ruang menyimpan buku beg itu bagi menjadi pelampung.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Unimas, Professor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim telah merasmikan CIPTA 2019 dan majlis juga dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimas, Professor Dr Ahmad Hata Rasit serta Dekan FSGK, Professor Madya Dr Musdi Shanat.

Mohd Isyraq berkata beliau memilih mencipta Life-Bag sebagai projek tahun akhirnya di universiti itu kerana dari pemerhatian dan soal selidik dilakukannya terhadap murid sekolah yang menaiki bot setiap hari ke sekolah di luar bandar Sarawak didapati ramai tidak berminat memakai jaket keselamatan.

“Murid terbabit apabila ditanya, memberi alasan yang pemakaian jaket terbabit hanya melambatkan dan mereka juga pandai berenang dan ini menjadi kekhuatiran kerana bila-bila masa kemalangan boleh berlaku dan nyawa boleh terancam,” katanya.

Sebelum ini beliau juga ada membuat penyelidikan mengenai kes orang lemas di Sarawak dan mendapati kes terbabit memang banyak kali berlaku sebelum ini kerana ada banyak sungai dan antara yang paling diingatinya ialah kes seorang pelajar berusia 14 tahun yang lemas selepas terjatuh di Jambatan Darul Hana di bandar raya Kuching Mei tahun lepas.

“Saya juga tergerak hati membuat ciptaan Life-Bag ini selepas melihat satu gambar kanak-kanak terpaksa mengunakan tali satu jambatan rosak bagi meyeberang sungai deras di negara jiran. Jadi saya terfikir kanak-kanak terbabit juga membawa beg sekolah yang berat dan membayangkan sekiranya mereka terjatuh,” katanya.

Setelah berbincang dengan pensyarah FSGK, beliau disarankan mencipta Life-Bag bagi murid sekolah dan rekaan itu mengabungkan beg sekolah dan juga jaket keselamatan penumpang bot serta mengambil masa setahun mencipta prototaip beg terbabit dengan mengunakan bahan yang betul.

Panduan pengguna Life Bag yang betul bagi murid sekolah ketika kecemasan supaya boleh dijadikan seperti jaket keselamatan penumpang bot.

Beliau selepas ini bercadang memperhalusi prototaip beg itu dan dan juga menjadikan kelihatan lebih menarik serta melakukan ujian terhadap pengunaan beg dikalangan kanak-kanak bagi mengetahui keberkesanannya ketika kecemasan.

“Saya juga bercadang mencari penaja mempromosikan pengunaan Life-Bag ini kepada murid sekolah luar bandar Sarawak dan mensasarkan penajaan dari syarikat Sarawak Energy yang banyak membuat projek di pendalaman Sarawak dan mereka juga ada ramai kakitangannya dari sekitar empangan hidro,”katanya.

Menurutnya kos bagi menghasilkan satu prototaip Life-Bag murid sekolah adalah sebanyak RM200 dan beliau menanggarkan sekiranya pengeluaran beg dapat dikilangkan kemungkinaan harganya boleh dikurangkan dibawah RM80. — DayakDaily

Advertisement