LHDNM: Sindiket penyamaran sebagai pegawai LHDN kembali aktif


KUCHING, Jun 7: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai LHDN yang kembali aktif sejak akhir-akhir ini.

Menerusi kenyataan hari ini, LHDN berkata sindiket menggunakan beberapa modus operandi dengan membuat panggilan telefon kepada mangsa.

“Mangsa menerima panggilan daripada sindiket yang memaklumkan bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan dan mangsa dikehendaki membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDN bagi menjelaskan tunggakan itu.


“Selain itu, mangsa juga menerima panggilan memaklumkan dia terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa. Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun miliknya dibekukan, mangsa diarahkan untuk memindahkan baki akaun ke akaun pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.

Tambah LHDN, ada juga segelintir mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi palsu Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan penyiasatan.

Menurut LHDN, sindiket menghubungi mangsa menerusi talian telefon mirip nombor telefon LHDN menggunakan teknik “spoofing”.

Orang ramai turut dinasihati agar menyemak panggilan, mesej, e-mel atau surat meragukan daripada LHDN dengan menghubungi Hasil Care Line di 03-89111000/ 603-89111100 (luar negara), Customer Care Officer, Borang Maklum Balas LHDNM atau hadir ke cawangan LHDNM berdekatan.

“Jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan, jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel meragukan, pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDN, jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta pemanggil yang tidak dikenali, jangan buat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali serta semak nombor telefon LHDN di portal rasmi LHDN,” katanya. -DayakDaily.

Pejabat LHDNM di Kuching