LHDNM kutip hasil cukai RM123.093 bilion pada 2020

File photo for illustration purposes

KUCHING, 1 Mac: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berjaya merekodkan kutipan hasil cukai langsung sebanyak RM123.093 bilion bagi tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pencapaian itu lebih RM1.393 bilion berbanding sasaran yang disemak kali ke-3 oleh kerajaan bagi tahun 2020 iaitu berjumlah RM121.7 bilion.

“Walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19, LHDNM bingkas mengambil tindakan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Pengurusan Krisis (CMT) yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan krisis kesihatan yang berpunca daripada Covid-19 ini dapat ditangani secara berkesan di LHDNM.


“Pelbagai risiko baharu yang berpotensi menjejaskan organisasi akibat pandemik ini dikenal pasti dan diambil tindakan segera demi menjamin operasi teras percukaian dapat diteruskan tanpa halangan,” katanya.

Sabin berkata demikian dalam ucapan di Sambutan Hari Hasil Ke 25 LHDNM di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau, ketika awal penubuhan iaitu pada tahun 1996, LHDNM hanya mampu mencatatkan kutipan cukai langsung berjumlah RM25.8 bilion.

Katanya, berkat perancangan rapi dan komitmen jitu daripada anggotanya, pada tahun 2011 LHDNM berjaya mencapai kutipan berjumlah RM109.6 bilion atau lebih empat kali ganda berbanding kutipan pada tahun 1996.

“Ini sekaligus menandakan bermulanya era kutipan cukai langsung tiga digit bilion.

“Kecemerlangan LHDNM tidak terhenti di situ, di mana sejarah sekali lagi tercipta apabila pada tahun 2019, angka kutipan cukai langsung negara merekodkan jumlah tertinggi yang pernah dicapai, iaitu RM145.11 bilion,” ujar beliau.

LHDNM menetapkan sasaran kutipan cukai berjumlah RM143.9 bilion bagi tahun 2021. — DayakDaily