Lesen operasi kuari Batu 7 tidak akan diperbaharui – Awang Tengah

Awang Tengah ketika membuat ucapan pengulungan bagi Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

KUCHING, 13 Nov: Kerajaan Sarawak tidak akan memperbaharui lesen pemilik kuari di Batu 7, Kota Sentosa di sini selepas tamat tempoh lesen iaitu pada 29 November 2020 nanti.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada 2017 Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Survei telah mengarahkan pihak pemegang lesen untuk menjalankan kajian Penilaian Kestabilan Cerun dan Pemetaan Bahaya di kuari berkenaan.

“Hasil kajian oleh perunding bertauliah iaitu Jurutera ADDA Sdn. Bhd. telah merumuskan bahawa keseluruhan dinding kuari adalah kukuh.


“Kerja-kerja pengkuarian termasuk peletupan yang dilakukan juga mematuhi prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pengulungan bagi Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Chong Chieng Jen.

Chong ketika membangkitkan isu tersebut berkata jarak kuari tersebut yang begitu hamper dengan kawasan perumahan penduduk menimbulkan kebimbangan penduduk mengenai keselamatan mereka selain memberi kesan ke atas tanah kawasan berkenaan seterusnya menjadi punca kejadian tidak diingini.

Operasi kuari terbabit yang dijalankan di Batu 7 berdekatan kawasan perumahan seperti Taman Mei Lee, Taman Wai Leong, Taman Sentosa dan Sentosa Height. — DayakDaily