Lelaki warga Indonesia maut dalam nahas jalan raya

Sebuah pikap jenis Toyota yang terbalik selepas terlibat dalam kemalangan.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 24: Seorang lelaki warga Indonesia maut, manakala empat lagi individu lain cedera selepas terlibat dalam kemalangan di KM20, Jalan Bintulu-Miri, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 malam itu, identiti mangsa masih lagi belum dikenalpasti.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung dengan dengan kejadian itu pada pukul 7.12 malam.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Pasukan bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Petugas perubatan memberi rawatan kepada mangsa yang cedera.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah pikap jenis Toyota dalam keadaan terbalik.

“Pemeriksaan lanjut mendapati empat mangsa telah terpelanting keluar dari dalam kenderaan itu, manakala seorang lagi tersepit,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba dari Unit EMRS kemudian bertindak memberi rawatan kepada mangsa yang cedera.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement