KUCHING, Mac 20: Seorang lelaki warga Indonesia telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966 (Akta 150).
Pada 15 Mac lalu, tertuduh telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching setelah mengemukakan Pasport Indonesia kepada pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter.
Semakan Sistem Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak mendapati identiti pada pasport tersebut bukan merujuk kepada tertuduh.
Tertuduh kemudian didapati bersalah kerana didapati menyamar identiti dengan mengemukakan dirinya sebagai orang yang empunya pasport tersebut dengan meminda gambar empunya pasport kepada gambar tertuduh.
Pertuduhan telah dibaca kepada tertuduh di hadapan Yang Arif Zubaidah Sharkawi dan kes telah dibawa oleh Pegawai Pendakwa dari Unit Pendakwaan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Sarawak.
Tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan berkuat kuasa hari ini (Mac 20) dan telah dihantar ke Penjara Puncak Borneo untuk menjalani hukuman.
Jabatan Imigresen Malaysia mengingatkan warga asing agar menggunakan pasport dan dokumen perjalanan yang tulen apabila ingin memasuki Malaysia.
Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana agen, majikan atau individu yang cuba menggugat integriti warga imigresen malah Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi demi menjaga kedaulatan serta keselamatan rakyat dan negara. — DayakDaily