Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ditemui selamat

Anggota bomba mendukung mangsa yang ditemui selamat.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Jan 13: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebunnya semalam ditemui dalam selamat di kawasan hutan di Nanga Dap dekat sini hari ini.

Mangsa, Jampong Jawi, 70-an, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.08 pagi.


Jurucakap bomba dan penyelamat Sarawak berkata, mangsa dijumpai pada jarak 3 kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang sebelum itu.

“Semasa ditemui, mangsa didapati dalam keadaan selamat, namun lemah akibat tidak makan dan minum,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Katanya, mangsa kemudian dibawa balik ke rumah panjang untuk diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Operasi SAR yang memasuki hari kedua ditamatkan sebaik mangsa selamat dihantar ke rumah panjang,” jelasnya.
— DayakDaily