Penghuni hotel digemparkan dengan kebakaran di sebuah bilik

Keadaan sebuah bilik hotel yang terjejas akibat kebakaran.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 13: Penghuni yang menetap di sebuah hotel di sini digemparkan dengan kejadian kebakaran di sebuah bilik di hotel berkenaan, malam tadi.

Kejadian pada pukul 9.42 malam itu telah mengakibatkan bilik itu terjejas kira-kira 40 peratus.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Hambali Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.44 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang membakar sebuah tilam yang kemudian merebak ke bahagian dinding bilik berkenaan.

“Pasukan bomba segera melakukan operasi memadam kebakaran bagi memastikan api tidak merebak ke bilik lain,” katanya di sini hari ini.

Hambali menambah, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat kebakaran itu.

“Punca kebakaran tersebut masih dalam proses siasatan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.40 malam,” katanya. — DayakDaily