Lelaki warga emas temui ajal dirempuh Toyota Hilux

Kelihatan Toyota Hilux yang merempuh motosikal mangsa.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Mac 9: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan Toyota Hilux di Batu 20, Beratok di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang itu, mangsa, David Basil Rito, 69, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dikatakan berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh mangsa dipercayai telah keluar daripada simpang dari arah Pekan Beratok menuju ke Jalan Kuching-Serian.

Keadaan motosikal mangsa di lokasi kejadian.

Katanya, sebuah Toyota Hilux yang dipandu oleh lelaki berusia 29 tahun yang sedang bergerak lurus dari arah Kuching menuju ke Serian merempuh motosikal mangsa.

“Akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa tercampak atas jalan dan disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian badannya,” katanya.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -DayakDaily