Oleh Dean Adam
MUKAH, Dis 16: Seorang lelaki warga emas menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di KM52, Jalan Mukah-Selangau dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Juan Lium, 66, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, seorang pemandu Toyota Hilux yang berusia 61 tahun dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Mukah menghala ke Selangau dekat sini.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, secara tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggangi mangsa telah keluar dari simpang sebelah kiri.
“Pemandu lelaki itu dikatakan cuba memberhentikan kenderaannya, namun disebabkan jarak terlalu dekat Toyota Hilux yang dipandunya telah merempuh motosikal mangsanya.
“Rempuhan kuat itu telah mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu mengalami kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, pemandu Toyota Hilux yang juga merupakan seorang pengurus ladang pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily