Lelaki warga emas maut dalam kemalangan

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa.

Oleh Dean Adam

JULAU, Dis 18: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia menemui ajal selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Pakan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ketit Beti, 70.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kejadian sama turut mengakibatkan seorang wanita berusia 64 tahun yang menaiki kereta bersama mangsa cedera.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.30 tengah hari.

“Sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Perodua Viva dan lori membawa muatan batu,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pemeriksaan mendapati, mangsa lelaki masih tersepit di dalam kereta, manakala wanita berkenaan telah dikeluarkan oleh orang awam.

Katanya, pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

“Pemandu lori berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily