Kanak-kanak perempuan tahan sakit lebih 20 minit, kaki kanan tersepit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

SIBU, Dis 18: Seorang kanak-kanak terpaksa menahan kesakitan lebih 20 minit selepas kakinya tersepit di dalam besi penutup parit di Taman Indah di sini petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu mengakibatkan kaki kanan kanak-kanak perempuan tersebut tersepit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.06 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kaki kanan kanak-kanak berkenaan masih dalam tersepit.

“Anggota bomba segera melakukan operasi mengeluarkan kaki mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

Katanya, kaki mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya dikeluarkan.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 5.34 petang,” ujarnya. — DayakDaily