MIRI, September 14: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar memasang pukat petang semalam ditemui selamat hari ini.
Lelaki berkenaan, Jandah Luang, 88, ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 8.30 pagi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, mangsa ditemui pada jarak 5 kilometer (km) dari Rumah Panjang Brauh.
Katanya, semasa ditemui mangsa kelihatan keletihan, namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Difahamkan, sebelum kejadian mangsa keluar sendiri untuk menjalankan aktiviti memasang pukat di sungai yang jaraknya 3 km dari rumah.
“Namun manga lupa jalan pulang semula ke rumah panjang sebelum ahli keluarganya menghubungi pihak bomba untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Law menambah, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Bekenu untuk menerima rawatan selanjutnya.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 10.30 pagi,” katanya. — DayakDaily