Oleh Dean Adam
BALINGIAN, April 21: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semasa mandi di Sungai Rusa berhampiran Rumah Bunak, Tepus di sini sejak Rabu lepas belum lagi ditemui setakat petang ini.
Mangsa yang dilaporkan hilang dikenalpasti sebagai Perau Angga, 74.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, Nazari Harun berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima hari ini masih gagal menemui petunjuk baharu.
Katanya, fokus pencarian operasi SAR yang dilakukan hari ini adalah di sekitar Sungai Rusa dan dalam radius 10 kilometer.
“Selepas beroperasi hampir 5 jam, kesemua anggota SAR telah kembali ke Pos Kawalan Bomba di Rumah Tepus, Balingian.
“Hasil perbincangan dan persetujuan bersama keluarga, orang kampung dan juga agensi penyelamat yang terlibat, operasi SAR ditangguhkan,” katanya di sini hari ini. — DayakDaily