Lelaki warga emas hilang ditemui mati dalam hutan

Mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan hutan Kampung Ramuyu Lubai oleh pasukan SAR.

LIMBANG, Feb 4: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah semalam ditemui mati di kawasan hutan di Kampung Ramuyu Lubai di sini hari ini.

Mangsa, Mandar Kachi, 83, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 1.25 petang.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, penemuan mayat mangsa itu telah dimaklumkan oleh Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Linggem.


Katanya, jarak mangsa dijumpai adalah kira-kira 2 kilometer dari rumahnya selepas pasukan penyelamat menemui baju mangsa yang jaraknya hanya 50 meter dari mangsa.

“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dari hutan untuk diperiksa oleh pihak hospital yang turut berada di lokasi.

“Setelah membuat pemeriksaan pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong menambah, sebelum itu, pihak bomba menerima laporan berhubung kehilangan lelaki warga emas itu pada pukul 7.48 malam.

Tambahnya, pengadu bernama Ali Hassan memaklumkan bahawa bapa mertuanya dikhuatiri hilang selepas kali terakhir melihat mangsa sedang mandi kira-kira pukul 12 tengah hari di Sungai Lubai.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. — DayakDaily