746 mangsa banjir terjejas di Sarawak, 10 pusat pemindahan dibuka

Keadaan mangsa banjir yang dipindahkan ke Dewan SK Sungai Putin, Asajaya.

KUCHING, Feb 4: Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu telah mengakibatkan seramai 746 orang mangsa banjir dipindahkan setakat ini.

Kesemua mangsa daripada 199 buah keluarga itu dipindahkan sementara ke 10 buah pusat pemindahan di tiga bahagian iaitu Kuching, Kota Samarahan dan Serian.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, setakat pukul 4 petang tadi, kesemua mangsa banjir yang dipindahkan dalam keadaan selamat dan terkawal.


Katanya, Kota Samarahan mencatatkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 345 orang dari 108 buah keluarga.

“Bahagian Kuching pula merekodkan seramai 291 orang mangsa dari 61 buah keluarga.

“Di Serian pula, seramai 110 mangsa daripada 30 keluarga juga dipindahkan di pusat pemindahan banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap sama menambah, penduduk di bahagian lain di negeri ini juga diminta terus berjaga-jaga ekoran keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Katanya, seramai 21,188 anggota pasukan keselamatan di Sarawak telah diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang menghadapi musim monsun timur laut kini.

“Jumlah pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang ditugaskan kali ini ditingkatkan berbanding 17,097 petugas tahun lalu.

“Daripada jumlah petugas itu, seramai 7,192 dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 5,000 (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), 3,281 (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), 2,469 (Polis Diraja Malaysia), 1,089 (Jabatan Sukarelawan Malaysia), 1,087 (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan 1,070 (Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak),” katanya. — DayakDaily