MIRI, 9 Julai: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang di Bukit Grand Oil Lady, di sini sejak semalam ditemui selamat pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa berusia 87 tahun dijumpai pasukan sukarelawan terdiri daripada runner dan hikers Miri yang menyertai Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa.
Jelasnya operasi SAR hari kedua hari ini bermula pada jam 6.45 pagi selepas ditangguhkan lewat malam tadi.
“Mangsa masih lagi dalam keadaan baik serta boleh berjalan keluar dari lokasi bersama pasukan SAR.
“Mangsa seterusnya dihantar ke rumah keluarganya dengan keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa disedari hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar pada jam 3 petang.
Laporan kehilangan mangsa telah dibuat oleh anaknya pada jam 7.45 malam dan operasi SAR terus dilancarkan.
Operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.05 pagi hari ini. — DayakDaily