Lelaki warga emas hilang 4 hari, ditemui selamat

Gambar komposit semasa mangsa ditemui pasukan penyelamat.

MARUDI, 11 Jun: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu di Golden Hill, di sini berjaya ditemui dalam keadaan selamat hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dijumpai oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 10.15 pagi.

Katanya, mangsa ditemui dikawasan hutan paya di belakang kawasan perumahan Golden Hill iaitu kira-kira 300 meter dari Pusat Kawalan Bomba.

“Status mamgsa dijumpai adalah masih hidup dan baring atas tanah berpaya dalam keadaan lemah.

“Pasukan SAR kemudian membawa mangsa keluar dari lokasi kejadiaan menggunakan pengusung dan melalui laluan hutan yang berpaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulan dan dikejarkan ke Hospital Marudi untuk pemeriksaan kesihatan.

Operasi SAR tersebut yang turut disertai polis dan ahli keluarga mangsa ditamat sepenuhnya pada jam 11.15 pagi. — DayakDaily