SARATOK, 12 Mac: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemui selamat hari ini selepas dilaporkan hilang di Rumah Inggam Sungai Nyiar Roban, di sini sejak semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata laporan kehilangan mangsa telah dibuat pada pagi tadi sekitar jam 10.14 pagi apabila mangsa masih tidak pulang ke rumah.
Katanya, usaha mencari mangsa juga dilakukan oleh ahli keluarga terlebih dahulu sebelum laporan dibuat.
“Operas mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan sejak jam 10.42 pagi dan pada jam 4.45 petang, pihak operasi menerima maklumat mangsa telah selamat dijumpai di kawasan ladang.
“Pasukan operasi kemudian terus ke lokasi mangsa ditemui iaitu kira-kita 1.3 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudian dibawa oleh pasukan SAR ke PKB dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak keluarga.
Mangsa seterusnya dibawa klinik kesihatan Roban untuk pemeriksaan kesihatan. — DayakDaily