Jerayawara penggiat industri rancakkan pelancongan domestik

Iskandar Mirza Mohd Yusof

KUCHING, 14 Dis: Program jerayawara antara penggiat industri dari Wilayah Timur dan Sarawak merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, program juga membantu mempromosikan pakej-pakej pelancongan dan produk yang menarik dan terkini.

“Program ini adalah salah satu usaha bagi merancakkan kembali aktiviti-aktiviti pelancongan Pantai Timur serta mempromosikan negeri-negeri di Pantai Timur sebagai salah satu destinasi pilihan kepada pelancong domestik di Sarawak,” kata Iskandar di majlis perasmian program di sebuah hotel di sini hari ini.


Penganjuran kali ini merupakan timbal balas kepada program Jerayawara ‘Jom Ke Sarawak siri pertama yang telah berlangsung di Wilayah Timur iaitu Kota Bharu, Kelantan dan juga Wilayah Utara di Pulau Pinang pada bulan Mei lalu.

Program hari ini bertujuan menarik minat pelancong dari Sarawak untuk melancong ke negeri-negeri di Wilayah Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Ia menerusi penganjuran sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) yang dihadiri oleh industri dan pengendali pelancongan.

Dalam pada itu Iskandar yakin penganjuran program ini merupakan platform terbaik untuk penggiat industri pelancongan dari Pantai Timur menjalinkan kerjasama dan perbincangan perniagaan bersama pemain industri pelancongan di Sarawak.

“Dengan adanya penerbangan terus dua hala antara Kota Bharu dan Kuching sebanyak 3 kali seminggu, ia bukan sahaja memudahkan perjalanan ke Kelantan, malah pakej-pakej pelancongan ini juga dapat dibangunkan dengan lebih mudah meliputi negeri Pahang dan Terengganu, ” katanya. — DayakDaily