Empat kanak-kanak hilang selepas lari masuk ke hutan ditemui selamat

Kelihatan empat kanak-kanak yang berjaya ditemui oleh pasukan bomba.

SIMUNJAN, Feb 25: Empat kanak-kanak yang dilaporkan hilang selepas dikatakan melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran Kampung Telagus di sini petang semalam berjaya ditemui hari ini.

Keempat-empat kanak-kanak yang berusia antara 11 hingga 14 tahun itu dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, keeempat-empat kanak-kanak tersebut ditemui pada pukul 12.30 tengah hari.


Katanya, mereka ditemui di sebuah rumah salah seorang ibu kanak-kanak yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit di situ.

“Sebelum itu, keempat-empat kanak-kanak tersebut dikatakan melarikan diri dari kampung selepas dimarahi kerana mandi di sungai di kampung berkenaan.

“Setelah dimarahi oleh salah seorang daripada ibu bapa mangsa, keempat-empat mangsa telah melarikan diri ke kawasan hutan dan dilaporkan tidak pulang ke kampung malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pihaknya hanya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada pukul 8.23 pagi ini.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan kemudian diarahkan ke kampung tersebut untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Operasi SAR itu tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari selepas kanak-kanak terbabit diserahkan kepada ahli keluarga mereka,” ujarnya. — DayakDaily