BETONG, Mac 17: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dua hari tidak pulang ke rumahnya ditemui mati lemas di Sungai Pusa di sini hari ini.
Mangsa, Jony Tay, 43, ditemui oleh orang awam pada pukul 3 petang sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten (PA) Usman Harto berkata, mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum ini.
Katanya, sebelum itu motosikal mangsa yang berasal dari Kampung Hulu Pusa ditemui di bawah Jambatan Baru Pusa.
“Operasi menyelamat mangsa telah dilakukan pada pukul 12.41 tengah hari bersama pasukan bomba dan polis.
“Operasi itu juga dijalankan di sebelah hulu sungai dengan menggunakan bot penyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Usman menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Jambatan Pusa untuk proses pengecaman oleh ahli keluarganya.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Betong.
“Operasi memcari dan menyelamat itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.41 petang,” katanya lagi. — DayakDaily