Lelaki terjun ke dalam sungai ditemui selamat

Pasukan bomba membantu mangsa yang ditemui selamat.

Oleh Dean Adam

BAU, Mei 20: Seorang lelaki yang dipercayai terjun ke sungai di Pangkalan Kampung Buso di sini malam tadi ditemui selamat kira-kira tiga jam selepas itu.

Mangsa, Mohamad Shahril Gorot yang berusia 30 tahun ditemui selamat oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira pukul 1.45 pagi.


Ketua BBP Bau, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.40 malam.

Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai di pangkalan Kampung Buso di sini kira-kira pukul 9.40 malam.

“Gerakan pencarian awal telah dibuat oleh penduduk kampung menggunakan bot sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Semasa itu, keadaan arus sungai adalah deras dan kedalaman lebih kurang 5 kaki dalam,” katanya di sini hari ini.

Ebby Hirwandy menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan kemudian berjaya menemui mangsa.

Katanya, mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.

“Operasi SAR tamat sepenuhnya selepas mangsa dibawa ke Hospital Bau untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya.

Bagaimanapun, motif mangsa bertindak terjun ke dalam sungai masih lagi dalam proses siasatan. — DayakDaily