Lelaki terjatuh bot di Sg Iran Suai, dijumpai mati

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

BATU NIAH, 7 Jan: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dikatakan terjatuh dari bot di Sungai Iran Suai sejak empat hari lalu dijumpai mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa dijumpai orang awam sekitar jam 2.28 petang hari ini.

Katanya, mayat dijumpai di kawasan Pabong berdekatan Kuala Suai iaitu kira-kira 17 kilometer dari lokasi kejadian.


“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan meniarap dan sempurna oleh orang awam yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) tersebut.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan mayat mangsa dikenali sebagai Abdul Wadud Dayyan Sastri,29 tahun itu kemudian diserahkan kepada polis dan kemudian dihantar ke rumah mayat di hospital berdekatan.

Operasi SAR yang turut disertai Polis, Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA ditamatkan pada jam 4.30 petang. — DayakDaily