Lelaki terbunuh dipercayai selepas bergaduh

Pasukan paramedik memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.

SIBU, Mei 30: Seorang lelaki terbunuh dalam satu kejadian pergaduhan di Jalan Fochow di sini awal pagi tadi.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa, Nicholas Mathew, 25, maut kecederaan teruk di bahagian kepala dan muka.

Menurut sumber, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada pukul 2.30 pagi.


Kata sumber, sebelum itu mangsa dipercayai terlibat dalam pergaduhan sebelum mengalami kecederaan parah.

“Orang awam yang kebetulan melalui kawasan pergaduhan itu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis kemudian menghubungi pasukan paramedik bagi memberikan rawatan awal kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah sumber, mayat mangsa yang berasal dari Rumah Panjang Benjamin Angki Rantau Kemiding, Kanowit, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

“Sehingga ini, pihak polis masih menyiasat punca pergaduhan dan mengesan suspek yang terlibat,” katanya. — DayakDaily