Pengguna jalan raya gempar, kereta terbakar dan meletup

Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran sebuah kereta.

SIBU, Mei 30: Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Lanang di sini gempar dengan kejadian sebuah kereta tiba-tiba terbakar sebelum meletup, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu telah mengakibatkan kereta Proton Saga tersebut terbakar 80 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.17 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba dan bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar kereta yang diletakkan di tepi jalan berkenaan.


“Pasukan bomba kemudian melakukan operasi pemadaman menggunakan dua aliran saluran bantu mula air dari tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan berlaku.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.36 malam,” katanya. — DayakDaily