Lelaki temui ajal, motosikal ditunggang langgar lori

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori.

MUKAH, Mac 18: Tindakan seorang pemandu lori meletakkan kenderaan berat itu di tepi jalan tanpa sebarang tanda amaran mengundang tragedi apabila seorang lelaki maut selepas melanggar lori itu di KM25, Jalan Mukah/Balingian di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Nordin Mohamad, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, ketika ini pihak polis sedang mengesan pemandu atau pemilik kenderaan berkenaan.

Jelasnya, ketiadaan tanda amaran bahaya yang diletakkan di tepi jalan berkenaan telah mengakibatkan mangsa gagal melihat kenderaan di situ.

“Akibatnya, mangsa telah melanggar bahagian belakang lori tersebut hingga mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily