Lelaki takut isteri, sanggup buat laporan palsu

Supt Merbin Lisa

KUCHING, 17 Mac: Seorang lelaki ditangkap selepas dikatakan membuat laporan polis palsu kerana takut dimarah isteri semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata suspek berusia 67 tahun datang membuat laporan polis tersebut sekitar jam 1.37 petang.

Katanya, suspek mendakwa dia disamun dua lelaki dengan menggunakan senjata pisau dan dikatakan telah mengalami kerugian wang tunai berjumlah RM2,000 dan juga dokumen pengenalan diri.


“Wujud keraguan semasa siasatan dijalankan dan hasil siasatan lanjut, suspek mengaku membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian samun tersebut.

“Ini disebabkan suspek bimbang dimarahi isterinya kerana belum membuat pembayaran kos rawatan RM2,000 di salah sebuah pusat jagaan, di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily