KUCHING, 27 Sept: Seorang lelaki terpaksa bersembunyi di atas pokok buluh semalaman selepas mendakwa dikejar tiga ‘individu’ tidak dikenali.
Mangsa, Billy Kaya, 31, semasa ditemu bual satu portal berita memberitahu tiga individu tersebut bertindak membaling batang buluh ke arahnya menyebabkan dia terpaksa bersembunyi untuk menyelamatkan diri.
Insiden tersebut menyebabkan mangsa sesat di dalam hutan di Jalan Stephen Yong, Kuching sehingga keluarganya terpaksa membuat laporan kehilangan mangsa pagi tadi.
“Anjing menyalak saya dengar, orang panggil saya pun saya dengar, tetapi saya tidak dapat menjawab kerana tiga orang itu menunggu saya di bawah pokok buluh tempat saya bersembunyi,” katanya.
Tambahnya lagi, tiga individu tersebut juga enggan bercakap dengannya dan dipercayai penunggu di hutan tersebut.
“Mereka tidak mahu bercakap dengan saya, kerja mereka cuma baling buluh ke arah saya sahaja,” katanya.
Difahamkan, mangsa keluar dari rumahnya pada jam 9 pagi semalam (26 Sept) untuk mencari rebung di kawasan hutan tersebut.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana berjaya menghubungi keluarganya untuk mendapatkan bantuan pada pagi tadi.
Mangsa kemudian berjaya diselamatkan oleh anggota Balai Bomba Batu Lintang yang menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik sahaja laporan diterima.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa ditemui kira-kira 2 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba.
“Mangsa dalam keadaan selamat cuma lemah anggota badan,” katanya.
Mangsa kemudian diberikan rawatan oleh anggota EMRS Bomba sebelum dibenarkan pulang.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.56 pagi. – DayakDaily