Lelaki selisih maut, tidak cedera kereta ditimpa pokok

Kereta mangsa rosak di bahagian atas akibat ditimpa dahan pokok.

KUCHING, 17 Nov: Seorang lelaki berselisih maut apabila dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun kereta jenis Perodua Alza yang dinaikinya rosak teruk akibat ditimpa dahan pokok, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Sufyan semasa kejadian berada di dalam kereta tersebut.

Katanya, hujan lebat dan angin kencang telah menyebabkan dahan pokok tempat mangsa meletakkan keretanya, tiba-tiba patah sekitar jam 3.24 petang.


“Anggota bomba dari Balai Padungan bergegas ke lokasi kejadian dan terus melakukan pemotongan dahan kayu tersebut untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.40 petang dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan Khairul, tamat sepenuhnya pada jam 3.44 petang. — DayakDaily