Lelaki Penan hilang di Mulu, masih belum dijumpai

Operasi SAR mangsa hari ini.

MIRI, 9 Sept: Seorang lelaki warga emas berbangsa Penan dilaporkan hilang selepas keluar memancing di Sungai Kampung Batu Bungan, Mulu sejak 1 Sept lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata laporan kehilangan mangsa berusia 65 tahun hanya diterima semalam ( 8 Sept) sekitar jam 10 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus dilancarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dan MOCSAR Niah.


“Hari ini merupakan hari kedua operasi SAR yang dimulakan dari jam 7 pagi bersama penduduk kampung dan pasukan operasi telah dipecahkan kepada empat kumpulan.

“Dua kumpulan melakukan pencarian di darat iaitu kawasan hutan sebelah hulu kampung Batu Bungan dalam radius 7 kilometer.

“Manakala dua lagi kumpulan melakukan pencarian menggunakan perahu di Sungai Melinau, Niah dengan radius 8 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6 petang tadi dan akan disambung semula esok.

“Setakat ini, mangsa masih belum berjaya dijumpai,” katanya. — DayakDaily