Lelaki pandu kereta maut, rakan selamat dalam kemalangan

Petugas perubatan memeriksa keadaan mangsa.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jul 19: Seorang pemandu lelaki menemui ajal selepas kereta yang dinaiki bersama rakannya terlibat dalam kemalangan di KM56, Jalan Bintulu-Miri dekat sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Badrun Amin Abdullah, 39, meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.26 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, komander operasi melaporkan kejadian itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga dinaiki oleh dua lelaki.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandunya tersepit dan dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala penumpangnya selamat,” katanya di sini hari ini.

Mangsa yang selamat diberi rawatan oleh petugas perubatan.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Kerja-kerja ‘flushing’ bagi membuang sisa-sisa minyak akibat kemalangan turut dilakukan.

“Operasi telah tamat pada pukul 3.07 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” ujarnya.ā€” DayakDaily