Lelaki OKU maut dilanggar, polis buru si pelaku

Lokasi kejadian.

BINTULU, 15 Jan: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar di Junction 5, Jalan Tun Hussein Onn, di sini pada Sabtu (13 Jan).

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dalam kenyataan medianya berkata mangsa semasa kejadian berjalan kaki sedang melintas jalan apabila dipercayai dilanggar sebuah kenderaan.

Katanya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.20 pagi.


“Polis tengah mengesan individu dan kenderaan yang terlibat dengan kes kemalangan tersebut dengan meneliti rakaman CCTV di sekitar lokasi berdekatan dan berdasarkan maklumat awam,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga boleh menghubungi Balai Polis Trafik Bintulu 086-338575 atau bilik gerakan IPD Bintulu 086-318304.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat kenyataan atau spekulasi di media sosial yang boleh menyebabkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat,” katanya. — DayakDaily