Oleh Dean Adam
MIRI, Mei 21: Seorang lelaki nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat jenis Toyota Hilux yang dipandunya terbabas lalu terhumban masuk dalam longkang di Jalan Miri-Pujut di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Toyota Hilux dari arah Pujut menghala ke pusat bandar raya tiba-tiba hilang kawalan kenderaan lalu melanggar penghadang jalan dan kenderaan tersebut terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan berkenaan.
Katanya, pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.08 malam.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah Toyota Hilux berada di dalam sebuah longkang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berkenaan sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya di sini hari ini.
Tambah jurucakap sama, mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada petugas perubatan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.34 malam,” katanya. — DayakDaily