Lelaki tipu orang kononnya untuk dapat kerja dipenjara 2 tahun

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mei 21: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret Sibu di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menipu pada Oktober 2018.

Sebelum itu, pertuduhan kes itu dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azri Zakaria dihadapan Majistret Stella Augustine Druce.

Tertuduh Febian Siges yang tidak diwakili peguam kemudian mengaku bersalah dengan pertuduhan tersebut.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara yang dijalankan secara berasingan dari tarikh hukuman sebelum ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 52 tahun telah menipu dengan memperdayakan seorang lelaki Iban berusia 30 tahun untuk membuat pembayaran sebanyak RM550 ke akaun bank miliknya bagi urusan mendapatkan pekerjaan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada Oktober 2018 lalu.

Sebelum ini, tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara di antara (1) tahun sehingga (4) tahun bagi 15 kes yang berasingan di daerah Kuching, Padawan, Miri, Sibu dan juga Kapit. — DayakDaily