Lelaki nyaris maut, kereta rempuh tiang lampu

Keadaan kereta yang remuk selepas melanggar tiang lampu jalan.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 6: Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta yang dinaikinya merempuh tiang lampu di Jalan Samariang-Santubong di sini awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, mangsa hanya dilaporkan cedera.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 4.13 pagi.

Jelasnya, sejurus itu sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

Kelihatan tiang lampu yang dirempuh kereta.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Proton Saga telah merempuh sebatang tiang lampu jalan di situ.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan dan menstabilkan keadaan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital.

Katanya, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya sejurus mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily