Lelaki miliki 15 rekod jenayah lampau ditangkap, disyaki peragut dalam video tular

Suspek ditangkap polis untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 8 Sept: Seorang lelaki yang disyaki peragut di Taman Hui Sing yang videonya tular di media sosial sebelum ini berjaya ditangkap polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuchuing ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 37 tahun itu ditangkap pasukan khas IPD Kuching di Jalan Tabuan Melayu sekitar jam 5 petang.

Katanya, suspek yang sebelum ini pernah ditangkap juga atas jenayah ragut mengaku melakukan dua kes ragut pada 3 September iaitu di Taman Hui Sing dan Pusat Komersil Stutong.


“Hasil soal siasat awal terhadap suspek ini telah membuat pengakuan iaitu terlibat dalam dua kejadian samun ragut tersebut.

“Dalam kejadian tersebut kedua-dua mangsa telah diragut rantai leher emas yang dipakai mereka menyebabkan kerugian dialami mereka sebanyak RM4,300,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak polis turut membuat beberapa rampasan iaitu motosikal dan topi keledar yang digunakan suspek.

“Kini kita sedang berusaha mengesan barang kemas milik mangsa,” kata Ahsmon.

Beliau berkata pihaknya juga telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun, denda atau sebat.

“Semakan rekod jenayah turut mendapati suspek mempunyai 15 rekod iaitu satu jenayah ragut, dua jenayah kekerasan dan 12 berkaitan dadah,” katanya. — DayakDaily