Lelaki mengamuk ditahan di Miri

Suspek (tengah) ditahan pihak polis pada petang Khamis untuk siasatan lanjut.

MIRI, 9 Jan: Polis Miri menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang mengamuk dan mengancam nyawa kakaknya dalam kejadian di sebuah rumah di Lorong Harmoni 1, Tudan fasa 6, di sini petang Khamis.

Suspek ditahan sekitar jam 3 petang oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) susulan laporan polis dibuat pengadu.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Disember 14 tahun lepas sekitar jam 8 malam, suspek dikatakan ‘naik minyak’ dengan merosakan cermin tingkap sebelah penumpang kereta Perodua Viva milik pengadu dan merosakkan  barangan di dalam rumah setelah permintaannya untuk duit ditolak.


Berang, suspek terus mengancam untuk membunuh kakaknya.

Tindakan suspek mengancam bunuh kakaknya menyebabkan pengadu dan ahli keluarga yang lain bersembunyi di dalam bilik semasa suspek mengamuk.

Selepas kejadian, suspek melarikan sebuah motorsikal milik pengadu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. — DayakDaily